16 Oktober Hari Makanan Sedunia


SETIAP tahun tanpa jemu pada 16 Oktober, dunia meraikan hari makanan. Tetapi secara sedar atau sebaliknya kita sendiri tidak begitu mengetahui wujudnya hari khusus buat makanan untuk disambut. Kita barangkali tidak mementingkan hari tersebut walaupun kita sedar akan pentingnya makanan untuk kita semua meneruskan kelangsungan hidup.

Kita perlu terima bahawa makanan ialah hak asasi manusia yang paling asas. Setiap yang bernyawa sama ada manusia atau binatang, mereka memerlukan makanan. Bagi manusia, ia memerlukan hak asasi ini untuk mengekalkan tenaga, bekerja, belajar dan terus hidup.

Tetapi malangnya, kira-kira 800 juta orang di seluruh dunia masih berlapar setiap hari.

Laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) seperti yang dipetik oleh BBC News menyamakan bahawa kebuluran ialah manifestasi kemiskinan paling kritikal.

Lalu ia senada dalam menyelesaikan masalah yang satu ini.

‘‘Untuk membasmi kebuluran, kita perlu mengisytiharkan perang kepada kemiskinan,’’ kata laporan itu.

Perlu diingatkan bahawa 17 Oktober pula disambut sebagai Hari Membasmi Kemiskinan Sedunia dalam kalendar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hubungan rapat di antara kemiskinan dan kebuluran bukan lagi satu kejutan besar sebenarnya. Adalah dianggarkan kira-kira 1.5 bilion individu hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$1 dolar (RM3.70) sehari.

Dan setiap tiga saat, pasti ada seorang yang mati kerana faktor kebuluran.

Kebuluran bukan sahaja meragut nyawa, lebih buruk daripada itu ia ‘mengambil bersama’ semangat serta keupayaan untuk bekerja dan belajar.

Menurut FAO lagi, masalah kebuluran boleh merencatkan keamanan dan kemakmuran sesebuah negara selain memerangkap individu itu dalam kitaran kemiskinan yang sukar diatasi. Akibat kebuluran juga akan membawa kepada tahap kesihatan memburuk. Paling tidak diingini, kebuluran dan kelaparan diwarisi dari satu generasi ke generasi lain.

Tahun ini tema Hari Makanan Sedunia ialah Mengatasi Kebuluran, Memerangi Kemiskinan.

Ia memberikan suara dan saksi kepada laporan ekonomi yang terkandung dalam kajian terbaru FAO bahawa satu-satunya cara efektif untuk membasmi kemiskinan ialah dengan menghapuskan kebuluran.

Selebihnya dalam soal memerangi kebuluran, FAO akan juga mengeluarkan laporan ketiga mengenai masalah itu. Laporan itu dikenali sebagai The State of Food Insecurity In The World.

Ketua FAO, Dr. Jacques Diouf dalam ucapannya menyambut Hari Makanan Sedunia percaya bahawa wujud hubungan di antara makanan dan kemiskinan.

‘‘Adalah diakui bahawa kebuluran adalah natijah kemiskinan, tetapi saya percaya adalah benar juga bahawa kebuluran menyebabkan kemiskinan,’’ katanya dalam satu kenyataan FAO seperti dipetik oleh akhbar The Guardian. Tetapi beliau masih berhati-hati dalam membuat ramalan bahawa kebuluran akan dapat diatasi sepenuhnya jika kemiskinan dibasmi.

Soal kemiskinan seringkali berkait rapat dengan luar bandar dan pertanian.

‘‘Matlamat yang lebih khusus diperlukan ke atas masalah kebuluran dan pembangunan pertanian dalam ruang lingkup objektif membasmi kemiskinan.’’

Di negara membangun, sekurang-kurangnya 60 peratus penduduknya bergantung kepada tanah untuk mendapatkan makanan mereka. Bagaimanapun, begitu banyak isu bersabit dengan hak-hak tanah dan kualiti tanah bumi bermakna berjuta-juta orang akan kebuluran.

Mengambil kira bahawa 70 peratus mereka yang miskin dan kebuluran ini tinggal di luar bandar, FAO menegaskan bahawa pelaburan kerajaan dan swasta kini diperlukan di kawasan berkenaan jika dunia benar-benar mahu mencapai sasaran untuk mengurangkan kebuluran menjelang tahun 2015.

Dalam pada itu, Hari Makanan Sedunia bukan sahaja disambut kerana pentingnya makanan buat kita semua. Ia juga sebenarnya menjadi landasan dan matlamat bagi meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai masalah kebuluran yang kini membelenggu dunia.

Sekilas mengenai latar belakang Hari Makanan Sedunia, ia mula diraikan pertama kali pada tahun 1981, hari jatuhnya ulang tahun FAO diasaskan pada tahun 1945.

Tahun ini, seperti tahun-tahun sebelumnya , lebih 150 buah negara merancang beberapa majlis dan acara untuk memperingati hari yang penting untuk makanan itu.

Kira-kira 30 buah negara menyertai projek pendidikan global bagi memberi kesedaran kepada kanak-kanak mengenai masalah kebuluran dan kelaparan.

Sebagai contoh program yang dinamakan Feeding Minds, Helping Hunger, melibatkan gabungan bersama beberapa rakan antarabangsa termasuk UNESCO, Bank Dunia dan majalah Newsweek.

Duta Program FAO dan kempen tahunan, Tele-Makanan turut menarik perhatian selebriti-selebriti terkenal bagi menyertainya. Tahun ini misalnya, ia mendapat perhatian penyanyi Giberto Gil, Alanis Morrissette, Daniel Lanois, Femi Kuti dan Emmylou Harris.

Kalau kita belum lupa, sidang kemuncak makanan juga diadakan bagi memberitahu betapa masalah makanan ini perlu diselesaikan oleh dunia. Ia adalah forum yang mempertemukan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), para pegawai PBB dan kerajaan serta sebagainya.

Mungkin hal makanan dan kemiskinan bukan isu besar diperdebatkan di beberapa buah negara di Asia, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Tetapi sekali-sekala perlu diintai juga benua Afrika di mana masalah kebuluran dan kemiskinan ini masih belum dapat diatasi walau ‘perang habis-habisan’ diisytiharkan kepadanya.

Ia akan terus menjadi masalah yang cukup sulit untuk diatasi jika tiada sebarang kefahaman sama tentang hubungan makanan dan kemiskinan.

No comments:

Post a Comment